Ahad, 6 Februari 2011

Subuh Terakhir

Salam buat semua
Subuh terakhir itu
Kembali menyingkap nostalgia lalu
Aku yang kini bergelar balu
Kembali menitipkan kisah-kisah pilu

Buat tatapanmu
Teman-teman senasibku
Janganlah dikau terus merasa pilu
Atas ketetapan taqdir ALLAH al-Wadud

ALLAH Maha segala
Percayalah, ALLAH Maha segala
Di saat kita merasa sendiri
Dia masih bersama kita
Selangkah kita cuba merapatinya
Sejuta dakapan kasihNYA menjadi penawar duka

Andai ini ketetapanMU ya ALLAH
Jadikan aku hambaMU yang redha dengan setiap ketetapanMU
Mudahkan daku mengecap redhaMU
Aku hanya hambaMU
Masih hambaMu
Dan kekalkan aku sebagai hambaMU
Sehingga aku menghadapMU kelak...
Aamin ya rabbal 'alamin...

Isnin, 7 September 2009

Salam Ramadhan Kareem...

Assalamu 'alaikum...
Bertemu lagi di ruang maya ini, satu nikmat kurniaan ALLAH yang tak mampu kita kecapi tanpa rahmat dariNYA...
Alhamdulillah, kita dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun ini. Sedar tak sedar, sudah 17 hari Ramadhan berlalu. Terlalu cepat rasanya. Sayu hati bila mengenangkan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita. Lebih sayu lagi bila mengingatkan tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan tahun hadapan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
"Andainya umatku tahu kelebihan yang ada di bulan Ramadhan, nescaya mereka mengharapkan sepanjang tahun itu adalah Ramadhan..."

Masya ALLAH, kita ini terlalu jahil sehingga ada yang mengharap agar Ramadhan segera berlalu. Sedangkan umat terdahulu begitu gembira dengan kedatangan Ramadhan.

Ramadhan mereka disinari cahaya iman dan taqwa,
Ramadhan kita lesu tak bermaya,
Malam mereka sibuk dengan tarawikh dan tilawah,
Malam kita sibuk dengan kuih dan pelbagai juadah,
Takbir mereka takbir kemenangan,
Tanda kemenangan sebulan puasa,
Takbir kita lesu tak bermaya,
Tanda kekalahan sebulan puasa...

SubhanALLAH, moga ALLAH melindungi kita dari termasuk dalam golongan mereka yang jahil dalam agama. Bersegeralah mencari ilmu agama sebanyak mungkin, kerana kita semakin hampir dengan hari kiamat. Hari di mana tiada apa yang dapat menyelamatkan kita selain iman kepada ALLAH...

Selamat menyempurnakan ibadah puasa...

Sabtu, 8 Ogos 2009

Hidup Ini Pentas Ujian



Assalamu 'alaikum buat semua pembaca,





This is my first experience in blogging. Sengaja ingin mencuba ruang baru dalam berkongsi ilmu dan pengalaman hidup...


Sebut tentang hidup, umat Islam tak dapat menafikan bahawa hidup ini suatu pentas ujian. Mungkin penganut agama lain pun begitu.


Namun, bagaimana kita memandang perkara ini? Adakah secara optimis? Atau pesimis?


Islam mengajar kita agar optimis tentang hidup. Mudahnya, kita harus memandang setiap apa yang berlaku dalam hidup kita sebagai ujian yang sangat unik konsepnya berbanding ujian ciptaan manusia.


Lazimnya, kita manusia mengadakan ujian untuk menilai kefahaman dan penguasaan individu terhadap sesuatu.


Tetapi, ujian hidup yang dibentangkan ALLAH mempunyai visi, misi, dan objektif yang lebih dari itu. Antaranya;

  1. Visinya: mendekatkan hamba kepada Pencipta, ALLAH 'azza wa jalla
  2. Misinya: membolehkan hamba mencapai tahap yang sepatutnya dicapai di sisi ALLAH

Manakala objektifnya:

  • menyedarkan insan yang alpa
  • meningkatkan rasa kehambaan terhadap Pencipta
  • menjauhkan dari kemungkaran
  • mendekatkan kepada kema'rufan
  • motivasi diri
  • mengingatkan kita bahawa hidup ini sementara
  • mengingatkan kita bahawa adanya hidup selepas mati yang kekal abadi
  • melatih kita supaya lebih teliti dalam mengatur langkah hidup

Dan banyak lagi manfaat yang ditimba dari setiap ujian bagi mereka yang terbuka mata hatinya. Justeru, marilah kita mengatur langkah demi langkah dalam hidup ini berlandaskan panduan yang telah disediakan ALLAH s.w.t dan Rasulullah s.a.w...