Selasa, 17 November 2015

"Taubat tu apa?" Tanya Syasya.

"Kembali kepada Allah," jawab Mak Temah.

"Penting ke taubat?"

"Penting ke Syasya balik kampung?"

"Mestilah! Kampung ada Mak Temah. Kat rumah tak de orang nak layan Syasya..."

"Macam mana Syasya rasa balik kampung tu penting, taubat tu lagi penting..."

"Tapi, tak adillah orang suruh Syasya taubat, tapi dia sendiri pun buat benda tak betul,"

"Dia bercakap dengan sendiri atau Allah yang izinkan dia bercakap?"

"Laa... mana ada manusia cakap sendiri. Of course Allah yang izinkan,"

"Dah tu, kenapa kata tak adil? Bukan ke itu tanda Allah sayang Syasya?"

"Kenapa tanda sayang pulak? Syasya tak fahamlah..."

"Syasya,  kalau tiap minggu Mak Temah ajak Syasya balik kampung, tentu Syasya seronok, kan? Allah, bila Dia dah sayang, dia akan panggil kita supaya banyak ingat kat Dia. Dia akan buatkan kita menangis minta tolong dengan Dia."

Selasa, 12 April 2011

Anak-anak pelajar...

Tanggungjawab dan peranan diri haruslah jelas. Kita hanya pelajar. Yang tanggungjawabnya cukup berat. Tak perlu dipersoal kenapa guru bertindak begini dan begitu. Selagi mana arahan guru itu tidak melanggar batas syara', turutilah. Kerana guru tiada keinginan lain. Jauh sekali ingin membalas dendam. Saat guru berdiri di hadapanmu, apa yang terlintas hanyalah hasrat memastikan anak didiknya faham apa yang disampaikan. Andai ada di kalangan pelajar yang mengganggu apa yang ingin disampaikan, pastilah guru tersinggung. Menduduki tempat kedua selepas ibu dan bapa, guru memainkan peranan yang amat penting dalam hidup seorang pelajar. Hatta Rasulullah s.a.w, berpesan, 'Hormatilah gurumu, walau dia seorang Nasrani'...

Rabu, 6 April 2011

Wasiat untuk Wanita...

Kunukilkan khas puisi ini,
Buatmu wanita,
Bergelar muslimah khususnya,
Tak kira siapa dirimu,
Baik seorang anak gadis buat ibu dan bapa,
Mahupun seorang wanita berkerjaya,
Mahupun seorang isteri buat suamimu tercinta,
Mahupun seorang balu dengan hati tabah,
Mahupun seorang ibu buat anak-anak yang bakal dewasa...

Kita diciptakan ALLAH,
Khusus dengan ciri kewanitaan,
Yang mampu menjadi perhiasan tercantik,
Di dunia fana' ini,
Hendaknya hingga ke syurga,
Asal saja kita masih berkiblatkan ALLAH,
Asal saja kita beramal dengan ajaran Islam...

Usah diubah syariat ALLAH,
Menjadi cantik di mata nafsu,
Kelak kau akan lesu sendiri,
Lantaran dipermain dek dunia yang menipu...

Labuhkanlah tudung kepalamu,
Usahlah ditinggikan sanggul rambutmu,
Elakkanlah memakai pakaian nipis,
Bersederhanalah dalam penampilan...

Aku bimbang,
Andai dikau mengenakan hiasan berlebihan,
Andai dikau meninggikan sanggul rambutmu,
Andai dikau mengetatkan pakaianmu,
Andai dikau sengaja memilih pakaian nipis,
Maka nerakalah tempatmu kelak...

Ini bukan ugutan yang sengaja kulontar,
Tapi ia peringatan Rasulullah s.a.w yang dikasihi,
Akan ada di kalangan ummat akhir zaman,
kaum lelakinya berada di atas pelana menuju masjid,
Tapi anak dan isterinya ibarat telanjang...
Nerakalah tempat yang lebih baik bagi mereka...

Ya ALLAH, selamatkan ummat ini,
Bimbing kami ke jalan redhaMU...
Aamiin ya rabbal 'alamiin...

Isnin, 14 Mac 2011

Ummi dah faham sikit-sikit. Nak faham hikmah ALLAH ni makan masa. Memang ALLAH nak tunjuk bahawa tiada yang berkuasa apatah lagi tiada yang layak disembah, melainkan ALLAH 'azza wa jalla sahaja. Itu memang main point dalam ujian hidup bagi setiap hamba. Satu lagi, ALLAH nak bagitahu bahawa bila ALLAH berjanji, ALLAH tak pernah mungkiri. Bila ALLAH kata, ALLAH akan balas kebaikan dengan kebaikan dan kejahatan dengan kejahatan, ALLAH pasti realisasikan kata-katanya. Pagi tadi Ummi baca surah Ar-Rum. Akhir surah ALLAH berfirman yang mafhumnya; "Bersabarlah, kerana ALLAH tidak memungkiri janji"
Memang kekadang Ummi hilang sabar bila diuji dengan kesakitan, kesempitan hidup, fitnah manusia yang selama dianggap kawan, dan macam-macam lagi. Tapi, dalam al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w., tiada satu dalil pun yang menyuruh manusia supaya mengalah dengan dunia yang penuh fitnah ni. Semuanya menyuruh beriman, bersabar. Baru Ummi perasan, rupanya di sebalik keperitan mujahadah sabar dan iman itu, ganjarannya cukup besar. Di dunia, orang yang menghina akan rasa lebih terhina bila kita bersabar. Orang dengki akan rasa perbuatan dengkinya sia-sia. Akhirnya musuh akan give-up. Beruntunglah kita bila diuji. kita sentiasa ingat hanya ALLAH pembela sebenar. Kalau hidup senang-lenang tanpa ujian, apa rasanya ye? Confirm tak ingat apa dah... Dunia aku yang punya!

Jumaat, 11 Mac 2011

Rajuk dan Pujuk

"Ummi, kenapa orang lain ayah datang ambil?"
"Orang lain ada ayah..."
"Hafiz tak de ayah ke?"
"Ada..."
"Kat mana? Tak pernah pun datang ambil Hafiz kat Taska..."
"Ayah jumpa ALLAH..."
"Macam mana ayah jumpa ALLAH? Takkan tak sempat balik jenguk Hafiz kat Taska?"
"Jumpa ALLAH di alam kubur. Bukan tak sempat jumpa Hafiz. Tapi dah tak boleh luangkan masa dengan Hafiz... Kena jawab soalan ALLAH dalam kubur. Ada penemuduga dalam kubur tu. Malaikat mungkar dan nakir."
"Ayah jumpa ALLAH sebab nak minta kerja ke?"
"Bukan nak minta kerja, tapi dah dapat kerja pun..."
"Dah tu, kenapa kena temuduga pulak?"
"Sebab kerja dah habis. Kerja atas dunia sebagai saksi bahawa ALLAH Tuhan kita... So, dalam kubur, malaikat akan tanya sebagai muhasabah kepada hidup. Adakah selama ni, kita betul-betul mengangkat ALLAH sebagai Tuhan, Muhammad bin Abdullah sebagai Rasulullah, Islam sebagai deen fil hayah..."

Jumaat, 25 Februari 2011

10 Petanda Dia Jodoh Kita | iluvislam.com + discover the beauty of islam

10 Petanda Dia Jodoh Kita | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Hafiz, hari ini, Ummi masih terkenangkan Ayah. Ummi bimbang, kudis di hati Ummi makin parah. Wallahu a'lam. Saban hari Ummi rasakan, kehidupan yang pernah Ummi bina bersama Ayah dulu adalah suatu mimpi. Kenapa ALLAH uji Ummi seberat ini? Ummi tahu, walaupun Ayah tak sayangkan Ummi sepenuh hatinya, tapi Ummi yakin, ALLAH memang sayangkan Ummi. Dulu, sebelum memulakan sesi perkenalan dengan Ayah, ALLAH bagi Ummi kekuatan untuk dirikan solat istikharah. Ummi keliru sebenarnya.

Antara dua cita-cita yang terlalu ingin Ummi gapai. Nak pergi haji hujung tahun 2009. Memang itu matlamat utama Ummi. Dah lama Ummi rindu nak tengok Ka'abah. Nak merayu depan ALLAH; 'Ya ALLAH, leraikan kekusutan yang berselirat dalam kepalaku ini'. Sakit yang Ummi taggung selama ni, hanya ALLAH yang tahu. Tak pe lah kalau manusia nak hina Ummi, tapi jangan ALLAH. Ummi sangat perlukan cinta dan kasih sayang ALLAH.

Rupanya, perancangan ALLAH lain. ALLAH temukan Ummi dengan Ayah. Ayah, kalau Ayah masih ada, tentu Ayah orang pertama yang Ummi bagi baca coretan hina ini. Kenapa Ayah pilih Ummi? Ayah kata sebab iman. Masya ALLAH, kalau kerana iman, tentu kita bahagia. Tapi Ummi kesal. Keluarga sakinah yang Ummi harapkan hancur! Hancur semata-mata kerana campurtangan pihak ketiga. Ummi tak sangka, sampai macam ni keluarga Ayah sanggup buat Ummi. Kalau tak suka, bagitaulah. Ummi sedar siapa Ummi. Memang Ummi hina. Hina di hadapan ALLAH. Tapi jangan hina Ummi dengan jalan yang batil..!

Kenapa Ayah taat pada perintah mensyirikkan ALLAH? Ayah boleh jawab soalan mungkar nakir dalam kubur sekarang? Siapa Tuhanmu? Apa agamamu? Siapa lelaki yang kau jadikan ikutan?

sehari selepas Ayah meninggalkan kami, Ummi dan Hafiz melangkah ke kubur tempat ayah bersemadi.

"Hafiz, bagitau Ayah, jawablah pertanyaan malaikat. Aku redha ALLAH sebagai Tuhanku, dan aku redha ISLAM sebagai agamaku. Dan aku redha Muhammad sebagai Nabi dan Rasul..."

Harap Ayah tenang berhadapan dengan malaikat sekarang. Ummi bukan sesiapa. Hanya hamba ALLAH yang hina. Tiada yang dapat Ummi bantu sekarang. melainkan mengajar Hafiz supaya sentiasa doakan Ayah...

Apapun, terima kasih sebab Ayah sudi terima Ummi sebagai pendamping hidup. Ummi jahil lagi dhaif di sisi ALLAH. Ummi tak harapkan apa-apa lagi selepas pernikahan kita. Ummi cuma harap ALLAH terima Ummi sebagai hambaNYA.

Ya ALLAH, kekalkanlah rasa kehambaanku terhadapMU.

Ampun maaf Ummi lafazkan. Sebab Ummi tak mampu jalinkan hubungan baik denga keluarga Ayah. Cukuplah setakat ini Ummi dihina dan dicaci. Biarlah Ummi pergi membawa diri. Ummi sedar siapa Ummi dalam keluarga Ayah. Ayah keluarga wakil rakyat. Ummi hanya seorang anak ustaz kampung. Kami tak dibesarkan dengan wang ringgit. Tapi cukup hati budi yang mendewasakan kami.

Kami tak punya harta macam keluarga Ayah. Sawah bendang berelung-relung. Bahkan Abah pernah wasiatkan pada Mak; "Jangan dituntut harta yang ada... Cukuplah ilmu sebagi bekalan hidup..."

Memang kami merasa cukup dengan apa yang ada. Ummi tak pandai mengatur dan mengumpul harta. Sebab Abah dan Mak tak ajar kami buat semua tu. Kalau adapun bahagian Ayah yang layak Ummi dapat, Ummi tak mahu. Dan Ummi takkan ambil. Cukuplah ALLAH pelindung kami. Cukuplah ALLAH...

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

Khamis, 17 Februari 2011

Terima Kasih ALLAH...

Terima kasih ALLAH
Sebab beri kesempatan untukku belajar erti hidup
Hidup ini medan untuk tapisan
Siapa yang ingin mengenal Tuhan

Terima kasih ALLAH
Sebab beriku peluang untuk lalui episod hidup paling mencabar
Supaya aku yakin dengan janjiMU
Yakin dengan kuasaMU

Di hadapan mataku
Ya ALLAH
Kau singkap rahsia di sebalik namaMU al-Fattah
Kau bongkar rahsia musuh di hadapanku
Kau singkap kebenaran ISLAM di hadapan musuh

Ada yang sedar
Lalu mengambil iktibar
Ada yang keras hati
Lalu terus mendengki

Terima kasih ya ALLAH
Kerana Kau singkap rahsia di sebalik namaMU al-Basith
Aku yang musafir di rantau orang
Tidak pernah terputus rezeqi dariMU
Engkaulah yang melapangkan rezeqi untuk hambaMU

Terima kasih ya ALLAH
Walau aku difitnah berzina
Tiada yang mahu percaya dengan fitnah itu
Walaupun oleh mereka yang tidak mengenaliku
Kerana jilbab itulah
Yang kukekalkan untuk memakainya
Atas perintahMU ya ALLAH
Mampu menepis fitnah
Membuatkan manusia tahu membezakan
Yang mana muslimah
Yang mana musyrikah
Yang mana munafiqah

Terima kasih ya ALLAH
Di sebalik namamu al-Hafiz
Kau jaga diriku
Sampai bila-bila...

Aku rindu padaMU...
Biarlah catatan ini menjadi saksi antara kita
Moga dapat jadi bekalan
Di akhirat abadi...